Faktor Pembentukan Malaysia


1. Keselamatan

Dari segi keselamatan, Lee Kuan Yew, Ketua Menteri Singapura dan pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PETIR) berasa bimbang kerana keselamatan Singapura terancam akibat  perkembangan pengaruh komunis. Lee Kuan Yew berasa bimbang akan pengaruh Barisan Sosialis kerana Barisan Sosialis telah memenangi pilihan kecil di Hong Lim, Singapura  pada bulan April 1961. Lee Kuan Yew berasa bimbang juga kerana kebangkitan pengaruh Barisan Sosialis akan melemahkan PETIR pada masa akan datang. Perkembangan  pengaruh komunis dalam Barisan Sosialis akan menggugat rancangan British untuk memberi kemerdekaan kepada Singapura. Perkembangan politik di Singapura ini juga membimbangkan Tunku Abdul Rahman. Beliau bimbang pengaruh komunis dari Singapura akan merebak ke Persekutuan Tanah Melayu.



2. Ancaman Komunis

Tambahan pula, ancaman komunis juga merupakan faktor pembentukan Malaysia. Lee Kuan Yew telah menggunakan alasan pengaruh komunis di Singapura untuk mendesak British menggabungkan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu. Beliau  berkeyakinan bahawa Persekutuan Tanah Melayu mempunyai pengalaman dalam membanteras pengaruh Parti Komunis Malaya pada zaman Darurat (1948-1960). Pengaruh komunis juga turut berkembang dan mengancam keadaan politik di Sarawak. Clandestine Communist Organization (CCO) berjuang untuk menjadikan Sarawak sebagai negara komunis. Ancaman komunis ini menyebabkan Tunku Abdul Rahman mengemukakan cadangan pembentukan Malaysia dengan menggabungkan Singapura, Sarawak, Brunei dengan Persekutuan Tanah Melayu. Pembentukan Malaysia akan dapat membentuk pakatan yang kuat untuk membenteras ancaman komunis.



3. Kemerdekaan

Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura masih belum mencapai kemerdekaan daripada  penjajah British. Negeri-negeri jajahan British ini masih belum mampu berkerajaan sendiri. Penyertaan mereka dalam Malaysia akan menjamin kemerdekaan yang lebih awal kerana Malaysia dijangka akan dibentuk dalam tempoh dua tahun. Negeri-negeri tersebut  juga dapat menikmati pembangunan politik, ekonomi dan sosial selaras dengan Persekutuan Tanah Melayu. Jelaslah bahawa, kemerdekaan merupakan faktor  pembentukan Malaysia.



4. Dekolonialisasi British

Dekolonialisasi Bristish merupakan faktor pembentukan Malaysia kerana pembentukan Malaysia adalah selaras dengan hasrat dekolonialisasi terhadap negara-negara kecil yang  belum membangun. Pada tahun 1960, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menimbulkan usul agar tanah-tanah jajahan diberi kemerdekaan.



5. Kestabilan politik

Pembentukan Malaysia diharap dapat memjamin kestabilan politik di rantau Asia Tenggara. British berharap pembentukan Malaysia dapat menghalang penyebaran  pengaruh komunis di Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak. Bristih perlu mewujudkan kestabilan politik serantau untuk memastikan kepentingan mereka terus terkawal terutama  pengkalannya di Singapura.



6. Ekonomi

Ekonomi menjadi faktor pembentukan Malaysia kerana perkembangan ekonomi tidak seimbang dalam negeri-negeri Sarawak, Sabah, Brunei, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu. Ekonomi Sabah dan Sarawak masih mundur berbanding dengan negeri-negeri lain. Pembentukan Malaysia akan mewujudkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan akan menguntungkan negeri-negeri yang mundur. Penubuhan Malaysia akan mewujudkan satu pasaran yang lebih luas untuk menggalakkan lagi pelaburan dan perkembangan industri pertanian. Pembentukan Malaysia dapat mewujudkan kerjasama yang memanfaatkan sumber yang sedia ada, misalnya Tanah Melayu kaya dengan biji timah dan getah, Sarawak dan Sabah kaya dengan sumber balak, dan Brunei kaya dengan sumber minyak.



7. Keseimbangan Kaum

Pembentukan Malaysia dapat menyeimbangkan kaum dengan menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura akan menimbulkan masalah ketidakseimbangan kaum di negara kita.Singapura mempunyai bilangan orang cina yang lebih ramai manakala Sabah, Sarawak dan Brunei mempunyai bilangan bumiputera yang lebih ramai. Penyertaan negeri-negeri tersebut dalam Malaysia dapat mengimbangi kaum di kalangan negara anggota. Pembentukan Malaysia juga mewujudkan kesepadatan dan semangat setia kawan di kalangan anggotanya.